Cuba amalkan petua berikut apabila ibu mengalami masalah bengkak susu.
1. Pakailah coli menyusu yang memberi sokongan, termasuk pada
waktu malam. Pastikan ia benar-benar padan dan tidak terlalu ketat.
2. Susukan bayi anda dengan kerap, iaitu setiap dua atau tiga jam,
walaupun terpaksa mengejutkan bayi anda daripada tidur. Pastikan bayi
menyusu daripada kedua-dua belah payu dara pada setiap penyusuan. Cuma
pastikan sebelah yang pertama tadi telah dihisap sepenuhnya sebelum
memberikan yang sebelah lagi. Pada sesi penyusuan yang berikutnya,
mulakan dengan sebelah payu dara yang terakhir dihisap.
3. Mungkin sukar untuk bayi melekap pada payu dara ibu apabila
areola, iaitu kawasan kulit gelap di sekeliling puting, sangat keras.
Untuk memastikan bayi melekap dengan betul, perah dengan tangan atau pam
susu keluar sehingga areola menjadi lembut. Satu cara untuk memudahkan
pengeluaran susu ialah dengan meletakkan tuala panas di dada, ataupun
mandi dengan air suam sebelum memerah. Air suam mandian itu sendiri
mungkin boleh menyebabkan susu keluar dengan sendirinya dan dapat
melembutkan areola. Ini mungkin akan memakan masa. Sabarlah, dan
teruskan mencuba!
4. Semasa bayi sedang menyusu,
urut payu dara yang sedang dihisapnya perlahan-lahan. Ini dapat membantu
pengaliran susu dengan lebih lancar dan turut melegakan sedikit
ketegangan dan ketidakselesaan pada payu dara.
5.
Jika payu dara terlalu penuh dengan susu, menggunakan pam sekali-sekala
untuk mengeluarkan susu berlebihan adalah elok dan tidak akan
memburukkan keadaan. Penghasilan susu yang berlebihan hanya akan berlaku
jika si ibu mengepam lebih daripada keperluan bayinya sedangkan bayi
itu sudah menyusu dengan baik.
6. Menyikat payu dara yang bengkak (sikat menghala ke puting).
7. Sesetengah wanita mendapati, meletakkan daun kubis segar pada
payu dara boleh membantu melegakan kesakitan, walaupun tiada bukti untuk
menyokongnya. Daun kubis itu mungkin ada kesan penyejukkan tetapi ia
tidak dapat mengubati penyebab sebenar payu dara bengkak iaitu susu
tidak dikeluarkan daripada payu dara dengan efisien (buat sesekali
sahaja kerana jika diamalkan selalu boleh menyebabkan susu kering).
8. Ambil cuka makan dan campurkan dengan air di dalam piring.
Ambil kapas, celup dan sapu pada sekeliling payu dara. Jangan sampai
terkena bahagian puting. Lakukan setiap hari sehingga tiada lagi masalah
bengkak.
9. Ambil beberapa helai daun sirih dan
disapu minyak zaitun di permukaan hadapan. Layur daun sirih tersebut di
atas tudung periuk. Tekap pada payu dara bila daun agak-agak suam.
Selain daripada melancarkan pengeluaran susu, ia juga mengurangkan rasa
sakit bengkak.
10. Urut payu dara sedikit sebelum
mengepam. Buat urutan membulat seperti pemeriksaan payu dara pada
kawasan yang ada rasa berketul-ketul.
Jika anda tidak dapat menahan sakit, anda boleh ambil ubat tahan sakit seperti paracetamol dengan nasihat daripada doktor.
Sumber : Majalah Pa Ma
No comments:
Post a Comment